Sunday, July 26, 2009

Aku dan Si Kura-kura


Pada petang itu aku diselubung rasa sedih yang mencengkam. Hati menjadi rawan. Lantas air mata mencurah laju di pipi. Aku menjadi hiba mengenang nasib diri yang ku anggap tidak sebaik nasib orang lain.

Sedang diulit kesedihan tiba-tiba aku terpandang seekor kura-kura yang sedang merangkak perlahan menyeberangi jalan. Melihat keadaan si kura-kura rasa sedihku hilang. Aku kembali ceria. Semangat kuatku kembali menapak dalam diri.

Aku mempunyai jawapan pada persoalan yang sering aku tanyakan pada diriku sebelum ini.

Mengapa harus aku bersedih? Sedangkan aku sepatutnya dan seharusnya merasa bahagia kerana aku seorang manusia. Manusia yang ada segala-galanya. Jika dibandingkan dengan si kura-kura itu.

Kura-kura juga sendiri tetapi si kura-kura tidak pernah bersedih. Malah si kura-kura tetap menjadi dirinya yang penyantun dan penyabar. Sepatutnya aku harus mempunyai rasa sabar yang tinggi. Penyabar seperti si kura-kura.

Sejak itu setiap kali hati dilanda rasa sedih aku akan merenung kembali diriku dengan si kura-kura. Aku ingin meminjam kata-kata pakar motivasi Dr. HM Tuah Iskandar Al-Haj.. dari buku MEMBINA PERIBADI ANGGUN - Bahagia untuk dinikmati bukan untuk diuji. Menguji bahagia, bahagia tetap di sisi. Begitulah seharusnya kita menafsir bahagia. Bahagia itu letaknya di hati. Kita tidak mampu berasa bahagia kalau kita merasakan tidak boleh bahagia. Kita tidak akan bahagia selama mana kita menyangka bahagia itu berada pada sesuatu - mungkin orang, mungkin benda, mungkin harta, mungkin wang ringgit. Itu semua hanyalah salah satu ciri-ciri kebahagiaan namun hakiki dan kekal abadi adalah apa yang ada dalam hati. Berusahalah untuk bahagia tetapi usah terlalu memburunya hingga mengorbankan sesuatu yang telah sedia membahagiakan kita. Bahagia di mata orang, bukan semestinya bahagia di mata kita. Lantaran ukuran bahagia tidak pernah menjanjikan dari apa dan siapa maka syukurilah kehidupan yang sedia ada. Kita melangkah tatkala bahagia hanya beberapa langkah di hadapan dan kita mengambilnya tanpa perlu merampas daripada sesiapa. Bahagia adalah milik setiap orang yang telah bersedia untuk berasa bahagia.

Sesuci Cinta