Tuesday, July 1, 2008

( Cerpen ) Maafkan Aku

Seingat aku... Sehari sebelum hari Raya AidilAdha tahun 2000. Pagi yang masih hening itu terasa sunyi sekali. Pagi itu juga tiada kedengaran suaranya.

Ke mana agaknya suara itu menghilang?.

Aku masih tak pasti. Namun apa yang pasti suara itu pasti mengejutkan aku,

walau selena manapun aku tidur.

Aku mencapai tuala untuk mandi. Setelah mengenakan pakaian aku terus menuju ke pintu utama rumahku. Aku mahu membuang sampah. Selepas meletakkan plastik sampah ke dalam tong sampah aku menuju ke halaman.

Berkali-kali aku memanggilnya. Tapi tidak muncul. Aku hairan juga. Mengapa ia tiada. Tidak seperti biasanya, setiap kali terdengar namanya dipanggil pasti bergegasnya menghampiriku.

Tapi memang lain benar terasa pagi itu. Semacam ada sesuatu...

Entahlah. Agaknya perasaanku saja. Tapi semakin aku cuba mendamaikan hati semakin lain rasanya.

Mengapa?

Aku mencapai penyiram bunga. Niat hatiku mahu menyiram pokok-pokok bunga. Aku mahu biarlah semua bunga-bungaku segar, sesegar pagi itu kebetulan esok seluruh umat islam akan menyambut Hari Raya Haji. Lagipun pokok bunga kertas dan pokok bunga ros ku tengah berbunga mekar.

Tiba-tiba aku nampak sesuatu...

Aku kenal benar. Itulah Comot yang aku panggil tadi. Aku menghampiri tubuh yang sedang berbaring itu. Aku mengusap pipi Comot. Terasa sejuk.

”Ya Allah.”.

Jantungku berdegup kencang. Comot dah mati rupanya…. Allah saja yang tahu hati dan perasaanku. Aku mengucup pipi Comot. Air mataku berlinangan. Aku seakan masih tidak percaya Comot sudah tiada. Namun pagi itu aku bukan bermimpi tapi kenyataan.

Aku bukan sedih Comot mati. Kerana aku tahu setiap yang hidup akan mati. Aku sedih kerana menyesal dengan sikapku. Sejak kebelakangan ini aku kurang memberi perhatian kepada Comot. Comot yang begitu manja denganku.

Kadang-kadang comot tidur melengkungkan badannya di kakiku. Memang begitu sikapnya. Badannya yang berasa panas dan sedikit bergerak mengeli apabila terkena tapak kaki.

Bila kakiku beralih sedikit. Pasti comot tersedar lalu mencari kakiku. Kemudian tidur semula.

Namun pernah juga si Comot tidur di atas perutku. Tak tahu kenapa? Itupun kali pertama. Dan kali pertama itu lah juga yang menyebabkan aku hilang sabar dengannya. Marah-marah. Hingga comot kubiar tidur diluar.

Kebetulan cuaca malam itu agak dingin kerana hujan masih lebat sejak tengah hari tadi. Masa itu, aku tidak terfikir tentang comot. Melainkan marahku.

Entah apa yang merasuk fikiranku tika itu?

Barangkali, beberapa hari ini aku asyik berperang dengan masalah di pejabat yang tak sudah.

Pagi tadi, aku dipanggil oleh ketua bahagian pentadbiran berkenaan fail peribadi Tina yang hilang. Memang aku lah orang yang bertanggungjawab. Tapi tak bermakna aku bersalah. Malah, Thien Siew boleh menjadi bukti. Dia nampak aku menyerahkan fail itu kepada Tina petang semalam.

Tina ingin memohon cuti rehat hujung bulan ini. Konon dia ingin menghadirkan diri di majlis perkahwinan adiknya di Bintulu.

Tapi pagi-pagi ini, tiba-tiba dia mengadu fail berkenaan hilang dalam simpananku. Bila aku ingin membela diri. Ketua bahagian kami tidak menghiraukan penjelasanku. Malah dia mengatakan bahawa aku sengaja ingin memberi alasan yang bukan-bukan.

Bila aku cuba ketengahkan Thien Siew sebagai bukti, ketua bahagian bagai mahu datang hantu. Marahnya macam orang sudah tak tahu dunia.

Petang itu pula, ketua kami mengedar ’surat tunjuk sebab’ kepadaku. Aku diberi masa dua hari untuk menjawabnya, jika tidak tindakan tatatertib akan diambil.

Pada masa itu aku fikir. Memang tidak adil. Sedangkan aku tidak bersalah. Selain Thien Siew bukti rekod dari penerimaan dari Tina sendiri juga harus meletakkan aku sebagai orang yang benar.

Tina sengaja berbuat begitu. Cutinya sudah hampir habis. Dia mengambil kesempatan. Ke atas sikap ketua kami yang tidak senang dengan diriku. Tak tahu kenapa?

Di mana keadilan? Ar.... aku benci....

Sebelum balik dari pejabat hari malang itu. Masih aku ingat kata-kata Tina yang menyebabkan aku takkan lupa sampai bila-bila.

”Sini tiada keadilan untuk orang benar. Lagipun, kau tak tahu kah yang bos kita tu syok dekat aku.”

Kemudian dia terus ketawa.

”Nania.. oh.. Nania. Nasib kau ni bolehlah dikira malang jugakan..” sambungnya lalu disambut ketawa panjang.

Ketika itu, mengelodak rasa hatiku ingin marah padanya. Kalau diturutkan hati. Memang siap dikerjakan. Nasibnya memang baik masih ada undang-undang dunia yang ingin menyekat kemarahanku.

Itu semua menyebabkan aku marah hingga terlupa dari mana asalnya marah lalu bersikap kejam pada Comot.

“Ya Allah… ampunkanlah aku… atas segala dosaku pada Comot”.

“ Maafkan Acik Comot”.

Aku berkata pada Comot. Memang sudah menjadi rutinku akan mengelarkan diriku Acik pada Comot, mahupun kucing-kucingku yang lain. Ini kerana aku juga menganggap Comot dan kucing-kucingku yang lain seperti anak-anak saudaraku sendiri. Betapa akrabnya aku pada kucing-kucingku. Aku mengosok-gosok tubuh Comot yang kaku. Aku benar-benar merasa bersalah dan berdosa pada Comot.

Alangkah bahagianya kalau aku masih diberi kesempatan. Diberi peluang. Aku mahu Comot hidup semula. Mahu ku bahagiakan Comot. Akan ku manjakan Comot seperti yang dimahunya. Tapi aku sudah terlewat. Keadaan tidak boleh diubahkan lagi. Aku memang tidak punya peluang lagi untuk itu. Semuanya sudah terlambat. Nasi sudah menjadi bubur. Tapi kalau nasi setakat jadi bubur tak apa. Sekurang-kurangnya bubur dapat juga dimakan walaupun lembik. Lembik-lembik pun sedap dimakan dengan kicap.

Tapi keadaan Comot lain. Comot sudah mati. Mana mungkin aku dapat mengisi semula nyawa Comot. Aku bukan Allah. Yang Berkuasa. Yang Esa. Aku hanya manusia biasa. Aku juga sama seperti Comot bila-bila masa saja akan mati, akan di matikan. Cuma bezanya aku manusia. Makhluk yang lebih tinggi darjatnya dari makhluk-makhluk Allah yang lain. Yang diberi akal. Dan akallah yang menjadikan darjat aku tinggi dari Comot.

Kesedihan menyelubungi diriku. Andai aku menangis air mata darah sekalipun Comot tidak akan hidup semula. Memang sayang semuanya sudah terlambat. Hakikatnya aku sudah kehilangan Comot. Comot sudah tinggalkan aku dan pergi menemui ILAHI.

Dan kehilangan itulah yang menghukum aku. Menghukum atas dosa-dosaku pada Comot. Hukuman atas kealpaan aku. Aku masih ingat kata-kata yang selalu bermain dalam fikiranku sebelum Comot mati. Kata-kata itu sering mengingatkan aku.

"Kalaulah satu hari nanti Comot sudah tidak ada".

Akulah orang yang paling menyesal.

"Kita hanya akan menghargai sesuatu itu bila ianya telah tiada".

Dan hari ini, telah mengiakan apa yang wujud dalam naluriku. Aku selalu membayangkan kalau Comot telah tiada. Mesti akulah orang yang paling merasa kehilangannya. Kerana Comot paling rapat dengan aku. Kerana Comot suka berkawan dengan aku. Tak pernah jemu-jemu. Comot memang tidak boleh nampak bayang aku. Kalau nampak bayang aku Comot pasti akan datang dekat. Mengesel-esel pipinya pada kakiku. Kalau aku duduk. Comot akan duduk di atas ribaku. Mengiau, meletakkan mulutnya ke mulutku. Mengesel-esel tangannya pada hidungku. Sebenarnya aku tidak kisah. Kerana aku memang sukakan kucing.

Aku ingat lagi semasa Comot kecik, Comot tidak berapa rapat denganku. Akupun kurang memperdulikan Comot. Aku pilih kasih. Aku cuma sukakan kucing yang cantik. Yang comel di mata aku itulah kucing yang ku sayang. Dan itulah pilihan aku. Tapi Allah itu maha adil. Semua kucing-kucing yang ku suka semuanya tak sempat membesar baru beberapa bulan saja sudah mati. Cuma Comot yang tinggal dan hidup. Aku masih ingat macam mana aku boleh jadi suka dan sayangkan Comot.

* * * *

Masa itu Comot tengah sakit. Bila melihat Comot asyik bergolong atas katil.. aku sering mengosok tubuhnya. Perasaan sayang datang dalam hati aku pada Comot. Anak kucing siam yang comot, comot kerana mukanya ada tompokan hitam. Tapi bukannya kotor. Itulah yang menyebabkan Comot tidak menjadi pilihanku.

Sejak aku lihat Comot hanya tidur, aku merasa sunyi pula. Yelah sebelum ini walaupun aku kurang prihatin pada Comot, tapi Comot aktif. Suka berlari-lari. Mengingatkan itu aku jadi simpati padanya. Aku mengurut badan putih Comot dengan minyak ‘lalak’ minyak yang dibuat dari santan kelapa. Minyak yang penuh dengan khasiatnya. Aku merawat Comot dengan penuh kasih sayang. Besar harapanku agar Comot cepat sihat dan aktif semula. Bulu Comot yang putih kelabu nampak berkilat setelah ku sapu dengan minyak lalak

Malam selepas aku mengurut Comot ku biarkan Comot tidur bersamaku. Ku peluk tubuh kecil Comot. Terasa olehku tubuh Comot yang panas. Ku cium kepala Comot. Muka Comot yg bertopeng itu ku tatap lama. Pada saat itu aku mengakui betapa kucing yang kuberi nama Comot itu adalah seekor kucing yang sungguh comel. Ku kucup hidung Comot lama. Aku merasa sesuatu yang damai. Aku menjadi sebak dan terharu. Terkenang akan kehidupan Comot.

Comot adalah anak kepada Nandung. Seekor Ibu Kucing Siam. Nandung ini sebenarnya bukan seekor ibu kucing yang bertanggungjawab dan sayangkan anak-anaknya. Yang Nandung tahu ialah makan, mengawan dan beranak. Sampai dua hingga tiga ekor kucing jantan sanggup mendekatinya. Dalam tempoh setahun sampai tiga hingga empat kali Nandung mengandung. Bila setelah melahirkan hanya dalam tempoh dua minggu Nandung mahu menjaga anak-anaknya. Dan selebihnya anak-anaknya akan dibiarkan kelaparan. Entah hidup atau mati. Comot adalah anak Nandung yang terakhir yang aku pelihara. Setelah umur Comot dua bulan, aku menghantar Nandung ke restaurant XYZ. Kerana aku sudah tidak mahu memelihara Nandung. Padaku Nandung hanya menyusahkan.

* * * *

Mulai saat itu aku berjanji aku akan menjaga Comot sebaik-baiknya. Dan dari rasa kasih yang dicurah itulah yang membuat Comot bertambah suka dan sayang padaku. Aku pun semakin sayangkan Comot. Mulai detik itu Comotlah kucing kesayanganku.

Aku mengosok badan Comot yang kaku. Aku terkenang akan perasaanku semasa balik kerja petang semalam. Aku merasakan keadaan terlalu sunyi. Sampai saja di rumah, aku langsung tidak ingat untuk memanggil Comot. Aku seakan seperti dilupakan untuk memanggil Comot.. Ingatanku seakan dimatikan untuk mengingati Comot.

Sikap aku benar-benar kejam. Mampukah ini semua dimaafkan dengan keinsafan?

Jika tidak. Sampai bila-bila kesalku pasti tak sudah..

Kalau ada kemampuan ingin aku katakan, ”maafkan aku.” Biar jelas keinsafan untuk perbuatan ini.

Perasaan kesalku semakin menebal. Perasaanku dihiris sembilu.

Hari Raya esok nampaknya tidak berseri. Aku merasakan kesunyian itu. Aku merasakan kesepian itu.

Sedihnya!!!!

No comments:

Sesuci Cinta